Jumaat, 28 Oktober 2011

GUNA KUASA PENGGUNA



SUNGGUH, memang benar berlaku kenaikan harga ayam. Ia terjadi di beberapa negeri ketika ini. Malah bukan daging ayam sahaja. Produk-produk lain turut terpalit sama, antaranya susu pekat manis, Nestle dan Milo. Maka tidak hairanlah setiap waktu rehat tengah hari atau selepas waktu pejabat sekitar pukul 5 petang, Aras G Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya yang menempatkan Kedai Rakyat 1Malaysia di situ diserbu orang - sebahagian besarnya penjawat awam.

Yang 'menyerbu'nya bukan semuanya daripada kakitangan sokongan pun (kerani atau budak pejabat) tetapi yang berkereta mewah dari Camry dan Mercedez Benz. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah lepak di situ waktu tersebut. Mana tidaknya, produk kicap kipas udang sahaja anda boleh jimat hampir RM2 berbanding membeli di luar. Itu belum lagi barang makanan lain. Permintaan terhadap produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia memang cukup hangat sehinggakan MYDIN yang berperanan sebagai pengedar barangan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai. Bukan setakat itu sahaja, MYDIN juga dikatakan masih berusaha mencari lebih banyak setor untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia yang kualitinya sama dan terjamin meskipun tidak berjenama dengan berlogokan 1Malaysia.

Berbalik kepada kenaikan harga ayam yang menjadi sebab Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang, Utusan Malaysia difahamkan ia turut mendapat sokongan daripada kementerian. Meskipun kementerian berkenaan lebih gemar menggunakan istilah 'kuasa pengguna harus ditunjukkan untuk menggalakkan perniagaan beretika' manakala CUEPACS yang kini disokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Perkasa terarah kepada tindakan protes dan boikot, nadanya tetap sama - demi kepentingan pengguna. Sebenarnya, kenaikan harga ini dipantau oleh Majlis Harga Barang Negara (MHBN). Data dikumpul setiap minggu.

Seorang jurucakap MHBN memberitahu Utusan Malaysia petang semalam, kenaikan harga ayam tersebut di luar skim kawalan musim perayaan memang berlaku. "Barang-barang kawalan bagaimanapun tidak naik tetapi untuk barangan yang dikawal pada musim perayaan, kenaikan biasanya berlaku selepas ia di luar tempoh skim tersebut. "Untuk isu semasa ini seperti mana dituntut oleh CUEPACS, kita mengesahkan memang ada kenaikan harga ayam. Tetapi kenaikan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri antaranya mencecah RM9.30 sekilogram untuk ayam standard berbanding RM7.30 yang ditetapkan," menurut jurucakap tersebut.

Seorang pegawai KPDNKK pula memberitahu akhbar ini, peniaga atau pihak tertentu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang setelah kerajaan memberikan subsidi. Harga tidak boleh dinaikkan walaupun harga komoditi barang mentah yang diimport adalah tinggi kerana kadar perbezaannya ditanggung kerajaan. Yang pasti, sesuatu perlu diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung kenaikan harga ayam. Di Johor pada Jun lalu, masalah anak ayam berpenyakit dikatakan menjadi antara faktor menyebabkan bekalan daging ayam berkurangan di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan harga terlalu tinggi sehingga menghampiri RM9 sekilogram. Juga, punca kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik di ladang pembekal serta penternak dan pengurangan subsidi diesel untuk pengangkutan lori membawa ayam. Tetapi lebih ramai yang merasakan ia lebih kepada sikap tamak pembekal yang mahu berbuat demikian menjelang musim cuti sekolah dan Hari Raya Haji (di mana ayam mendapat permintaan tinggi).

Tambah lagi, seperti mana kata CUEPACS, kenaikan harga seperti satu fenomena apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet tahunan. Ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang walaupun kakitangan awam belum menerima imbuhan tersebut. Ketika ini kerajaan sudah membuat apa sahaja untuk membela nasib rakyat yang terus berhadapan dengan kenaikan harga barangan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Antaranya mengambil langkah proaktif mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain. Kawalan harga ini dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan dimana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun. Jadi, mengapa harga ayam di sesetengah kawasan di Pulau Pinang sahaja kini sudah mencecah RM12 sekilogram.

Sumber:http://www.mydin.com.my

Kedai Rakyat 1Malaysia


Mengenai Kedai Rakyat 1Malaysia

'Kedai Rakyat 1 Malaysia', adalah merupakan sebuah kedai yang berkonsepkan pasar mini yang menjual pelbagai barangan keperluan asas dengan harga yang rendah.  Inisiatif ini lahir dari YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak  diatas keperihatinan beliau untuk meringankan beban rakyat  berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar. Ini juga bertepatan dengan slogan “Rakyat Didahulukan” yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Penubuhan ‘Kedai Rakyat 1 Malaysia’ ini juga diharap dapat mengawal kenaikan harga barangan runcit sewenang-wenangnya yang selama ini telah didominasi oleh syarikat pengeluar antarabangsa.
Perbezaan Kedai Rakyat  1 Malaysia dengan kedaikedai runcit yang lain adalah, barangan keperluan asas seperti  beras, minyak, susu tepung, lampin pakai buang dan banyak lagi dipek dengan jenama “Kedai Rakyat 1 Malaysia”.  Setakat ini, terdapat sebanyak 250 jenis barangan yang telah dijenamakan dengan jenama ini dan ianya akan bertambah dari masa ke semasa.
Antara kelainan yang turut terdapat di Kedai Rakyat 1 Malaysia ini adalah menjual pelbagai barangan yang telah dibungkus semula dalam kuantiti yang lebih kecil dan sedikit bagi membolehkan pengguna yang berpendapatan rendah masih dapat membeli barangan tersebut berdasarkan pada kemampuan dan keperluan mereka.  Antara barangan yang telah dipek semula adalah beras 1kg , serbuk kari 100gm dan lampin pakai buang dipek dalam kuantiti yang kecil.
Keutamaan penjenamaan produk di bawah jenama “Kedai Rakyat 1 Malaysia” ini diberikan kepada barangan keluaran  Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Selain daripada membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga rendah,  ini juga secara tidak langsung dapat membantu para pengusaha PKS untuk memajukan serta meningkatkan hasil jualan produk keluaran mereka dan seterusnya membantu mereka untuk bersaing di pasaran runcit yang lebih moden.
Auntie selling goreng pisang
Lokasi  Kedai Rakyat 1 Malaysia yang pertama ini terletak di stesen LRT Kelana Jaya dan beroperasi bermula dari jam 7pagi sehingga 11malam.
Manakala, MYDIN pula diamanahkan untuk menjalankan operasi kedai tersebut bermula daripada kerja-kerja pengubahsuaian kedai, membekal barangan, susun atur  barangan di dalam kedai, melatih serta menyediakan kakitangan dan juga mentadbir urus sistem ‘Point of Sales’ (POS). Kedai Rakyat 1 Malaysia ini berjaya disiapkan dalam tempoh satu bulan termasuk kerja pengubahsuaian kedai serta susun atur dan hiasan dalaman. Ini juga merupakan program tangunggjawab sosial MYDIN untuk masyarakat setempat.
Kami berharap projek usahasama antara Kerajaan dan MYDIN  ini dapat membantu serta memberi faedah kepada semua pihak dalam usaha meringankan beban rakyat Malaysia.