Khamis, 17 Jun 2010

KEMPEN "PENGGUNA BIJAK"

KPDNHEP telah mengumumkan beberapa langkah proaktif dalam membendung kebimbangan pengguna tentang kenaikan harga barang-barang, seterusnya mengawal pasaran dari ancaman peniaga tidak bertanggungjawab.




Di antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan adalah melancarkan Kempen Pengguna Bijak di seluruh negara. Melalui kempen ini, mesej utama yang ingin disampaikan kepada pengguna mahupun kepada peniaga ialah: Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan, dan peniaga yang menjual pada harga yang tinggi tidak akan disokong.



Kempen Pengguna Bijak ini bertumpu kepada pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negara. Ini bukan bertujuan menjejaskan perniagaan peniaga runcit tetapi merupakan strategi bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna.



Hypermarket mampu menawarkan harga murah kerana kemampuan membeli stok secara pukal, sekaligus berupaya mengurangkan kos pengeluaran.



Serentak dengan kempen ini, penguatkuasaan juga ditingkatkan di seluruh negara, membabitkan anggota penguatkuasa dan lebih 14,000 sukarelawan. Kempen ini juga melibatkan langkah-langkah memperkasakan pengguna supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat seterusnya berbelanja secara berhemah. Di antara inisiatif yang dijalankan termasuk:



• Memberi maklumat kepenggunaan yang meluas kepada orang ramai dalam menghadapi kenaikan harga barangan

• Di bandar-bandar kecil, exco berkaitan pengguna di setiap negeri akan memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai pasar yang menawarkan harga berpatutan kepada pengguna

• Mengawasi pasaran secara terperinci bagi memastikan harga barangan kawalan tidak dinaikkan sesuka hati. Bagi barangan lain, kenaikan harganya mesti merupakan kenaikan yang munasabah

• Memudahkan orang ramai melapor kepada KPDNHEP dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 jika mendapati ada peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati. Ini termasuk harga makanan yang dijual di premis makanan seperti restoran, hotel dan gerai.



Dengan Kerajaan yang prihatin, peniaga bertanggungjawab dan berfikiran jauh, dan pengguna yang bijak dan berhemat, kesan kenaikan bahan api hanya merupakan satu cabaran biasa yang boleh ditangani tanpa menjejaskan ekonomi keluarga dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan