Jumaat, 25 Jun 2010

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)

PENGENALAN

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999. Tribunal beroperasi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan. Objektif utama penubuhan Tribunal adalah untuk menyediakan saluran alternatif kepada pengguna untuk memfailkan tuntutan gantirugi secara mudah, murah dan cepat.



Siapakah Pengguna?







Secara umumnya pengguna bermaksud seseorang individu yang membeli barang dan perkhidmatan untuk kegunaan atau penggunaan diri, rumahtangga atau isi rumah.


Secara perundangan, istilah 'pengguna' bermaksud seorang yang :-
a) memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada
lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi
rumah; dan

b) tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi
maksud –






i. membekalkannya semula secara perdagangan;


ii. menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan;atau


iii. dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdagangan, barang lain atau
     lekapan pada tanah.


Objektif Penubuhan

1.Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan yang difailkan oleh pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna, 1999 tertakluk kepada peruntukan Akta tersebut.



2.Sebelum penubuhan Tribunal, segala tuntutan gantirugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa pengguna tidak berminat untuk membuat tuntutan di Mahkamah terhadap pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab terutamanya jika sekiranya amaun yang dituntut adalah kecil, walaupun pada masa ini sudah adanya Mahkamah Tuntutan Kecil di setiap negeri untuk mendengar tuntutan-tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00.


3.Memahami hakikat ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.


Keanggotaan Tribunal



Seksyen 86 Akta memperuntukkan bahawa Tribunal hendaklah dianggotai oleh seorang Pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri.


Bidang Kuasa



•Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :-


a) apa-apa tuntutan mengenai apa-apa perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawah Akta;


b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00;


c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.


•Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.


Batasan Bidang Kuasa


•Tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan :-


a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;


b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;


c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan

d) yang mengandungi pertikaian mengenai -

i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat;
ii. nama baik (good will)
iii. apa-apa hak dalam tindakan;
iv. rahsia perdagangan atau harta intelek lain.



e) apabila mana-mana Tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang- undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.
•Bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu.


 
Jenis-jenis Tuntutan Yang boleh Dikemukakan ke Tribunal


Mana-mana pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal menuntut gantirugi bagi kerugian yang ditanggung berhubung apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan beliau sebagai pengguna di bawah akta yang berbangkit daripada :-


a. Perlakuan mengelirukan dan memperdaya, representasi palsu dan amalan tak saksama, iaitu :-




i. perlakuan mengelirukan dan memperdaya berkaitan dengan jenis, proses pengilangan, kesesuaian, kualiti dan kuantiti;




ii. gambaran yang mengelirukan mengenai harga;





iii. tawaran pemberian, hadiah atau benda percuma lain dengan niat untuk tidak mengadakannya;



iv. tuntutan-tuntutan lain yang mengelirukan seperti -




1) selagi stok masih ada;



2) barang-barang adalah terhad; dan sebagainya.



v. menerima bayaran tanpa niat untuk membekalkan barang atau perkhidmatan;



vi. kontrak perkhidmatan hadapan bagi perkhidmatan yang akan diadakan atas dasar berterusan.

--------------------------------------------------------------------------------


b. Keselamatan barang dan perkhidmatan :–


i. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa barang atau kelas barang;






ii. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa perkhidmatan atau kelas perkhidmatan.






--------------------------------------------------------------------------------





c. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-






i. mengenai hakmilik;






ii. mengenai kualiti boleh terima;






iii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu;






iv. bahawa barang mematuhi perihal;






v. bahawa barang mematuhi sampel;






vi. mengenai harga munasabah;






vii. mengenai pembaikan dan barang ganti.


--------------------------------------------------------------------------------


d. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekal perkhidmatan :-






i. mengenai ketelitian dan kemahiran munasabah;






ii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu;






iii. mengenai masa siap munasabah;






iv. mengenai harga munasabah.


--------------------------------------------------------------------------------






e. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti nyata berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-






i. mengenai kualiti prestasi atau ciri-ciri barang;






ii. mengenai pemberian perkhidmatan yang diperlukan:






iii. mengenai kebolehdapatan barang yang serupa pada masa hadapan;






iv. mengenai pemulangan wang atau balasan sekiranya barang tidak memenuhi apa-apa akujanji oleh penggerenti.


--------------------------------------------------------------------------------






f. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-






i. mengenai kualiti yang boleh diterima;






ii. bahawa barang mematuhi;






iii. mengenai pembaikan dan barang ganti.


--------------------------------------------------------------------------------






Pengertian Barang














Untuk tujuan perenggan-perenggan di atas, perkataan 'barang' ertinya barang yang terutamanya dibeli atau digunakan bagi maksud diri, rumah tangga atau isi rumah, dan termasuklah :-






a. barang yang dipasang pada, atau digabungkan dalam, apa-apa harta tak alih atau harta alih;






b. haiwan, termasuk ikan;






c. vesel atau kenderaan;






d. kemudahan; dan






e. pokok, tumbuh-tumbuhan dan tanaman sama ada atau tidak di atas, di bawah atau terlekat pada tanah, tetapi tidaklah termasuk hak dalam tindakan, termasuk surat cara niaga, syer, debentur dan wang.




Pengertian Pengguna


Perkataan 'pengguna' ertinya seorang yang :-


a) memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah; dan

b) tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi maksud :-






i. membekalkannya semula secara perdagangan;



ii. menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan;



iii. dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdagangan, barang lain atau lekapan pada tanah.


Pengertian Perkhidmatan


Perkataan 'perkhidmatan' termasuklah apa-apa hak, faedah, keistimewaan atau kemudahan yang atau yang akan, diberikan atau dianugerahkan di bawah apa-apa kontrak tetapi tidaklah termasuk :-


a) hak, faedah atau keistimewaan dalam bentuk pembekalan barang atau pelaksanaan kerja di bawah suatu perkhidmatan; atau






b) apa-apa perkhidmatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh ahli professional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis (seperti doktor, peguam atau arkitek);atau






c) perkhidmatan jagaan kesihatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh professional jagaan kesihatan atau oleh kemudahan jagaan kesihatan (seperti perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, farmasi dan ambulans).





UNTUK MAKLUMAT LANJUT,LAYARI  http://ttpm.kpdnkk.gov.my/

sumber dari Laman web TTPM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan