Jumaat, 13 Ogos 2010

TELUR MENGANDUNGI ARSENIK


SUMBER DARI KONSUMER KINI

Adakah anda menyapu sos strychnine di atas stik anda? Menggunakan cyanide untuk roti anda? Menambah ais krim dengan thallium.

Jika anda berbuat sedemikianhentikan segera kebiasaan tersebut. Ini kerana ketiga-tiga bahan ini merupakan racun. Strychnine dan thallium adalah racun tikus dan serangga yang membawa maut, manakala cyanine pula akan merosakkan sistem saraf manusia. 

Semua orang menikmati telur dalam pelbagai bentuk - telur dadar, telur setengah masak dan telur goreng. Tidak ada orang yang inginkan telur yang ditabur dengan arsenik.
Namun satu kajian yang dilakukan oleh  Jabatan Kesihatan Utah Amerika Syarikat mendapati bahawa kewujudan arsenik dalam telur merupakan satu keadaan yang biasa dalam kehidupan kita. 

Arsenik wujud secara semula jadi dalam kehidupan kita. Ia muncul dalam bentuk organik dan dalam kuantiti yang kecil di udara, air bawah tanah, tumbuhan dan haiwan.

Walaupun arsenik wujud secara semula jadi, tetapi ini bukan sebabnya kita perlu menambah arsenik ke dalam makanan ayam. Arsenik yang dimakan akan ditukar menjadi sebatian bukan organik yang beracun dan bersifat kasinogen.

Perdagangan penternakan, persatuan penternakan dan penternak menyatakan bahawa arsenik adalah baik untuk bidang penternakan. Setiap tahun penternak ayam di Amerika Syarikat akan menambah 1 juta kilogram aditif yang mengandungi arsenik ke dalam makanan ayam. Bahan ini digunakan untuk 70 peratus ayam di Amerika Syarikat untuk mempercepatkan pertumbuhan, menangani penyakit dan menghasilkan ayam yang lebih besar serta sedap.

Ayam yang tercemar dengan arsenik akan turut mencemari kesihatan manusia. Menurut kajian daripada Institute for Agriculture and Trade Policy (IATP) pada tahun 2004 mendapati kandungan arsenik sangat tinggi dalam ayam yang dijual pada rantaian makanan segera. Selain itu arsenik juga dikesani dalam lebih daripada 50 peratus ayam yang dijual dalam kedai. 

Jadi kita menghadapi risiko yang tinggi pada pendedahan arsenik.

Jabatan Kesihatan Utah mendapati tahap arsenik yang tinggi dalam tubuh dua orang adik-beradik di Mapleton, Amerika Syarikat. Mereka telah makan telur yang dihasilkan oleh ayam ternakan sendiri yang diberikan makanan berarsenik. 

IATP dan Pusat Keselamatan Makanan telah memohon kepada US Food and Drug Administration (FDA) untuk mengeluarkan arsenik daripada senarai aditif makanan haiwan. Penemuan daripada Jabatan Kesihatan Utah membuktikan bahawa perkara ini harus diberi perhatian yang segera.

Pegawai FDA menyatakan bahawa agensi mereka sedang mengumpul data yang berkenaan untuk menunjukkan isu kesihatan ini. Buat sementaranya demi kesihatan dan keselamatan awam makanan ternakan yang mengandungi aditif arsenik perlu diharamkan.

US Environmental Protection Agency telah mengharamkan penggunaan arsenik dalam pengawet kayu dan racun perosak. Namun mengapakah arsenik terus dibenarkan dalam makanan ternakan? 

Di Malaysia, tiada satu kajian yang dilakukan ke atas arsenik. Oleh itu kita memang tidak tahu sama ada ternakan kita telah dicemari dengan arsenik dan seterusnya boleh mencemari kesihatan kita. Peraturan-Peraturan Makanan Malaysia menetapkan tahap pengambilan arsenik harian pada 1mg/kg. Namun kita tidak pasti sama ada kita telah mengambil arsenik yang berlebihan ataupun tidak.

Pengguna mempunyai hak untuk keselamatan, tetapi keselamatan pengguna biasanya tidak diutamakan.
Sam Wong 
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

BANJIR! LINDUNGI RUMAH ANDA!

sumber dari KONSUMER KINI



Banjir adalah bencana alam yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Masalah yang serius, terutamanya jika kediaman terletak di kawasan zon banjir. Kemusnahan yang berpunca daripada banjir boleh merosakkan harta benda dan tapak rumah. Oleh kerana itu, anda perlu mencari kaedah yang bersesuaian untuk melindungi kediaman daripada mengalami kemusnahan yang berpunca daripada air ataupun banjir. Apa yang penting, kaedah tersebut mampu untuk melindungi rumah daripada bencana ini untuk beberapa tahun. Berikut adalah beberapa tips untuk melindungi rumah anda daripada dimusnahkan oleh banjir:

Sentiasa Peka
  1. Sentiasa peka dengan ramalan cuaca. Setiap kali terdapat risiko banjir berhampiran kawasan tempat tinggal anda, mula bertindak dengan mengumpulkan barang-barang berharga di tempat yang mudah dicapai sekiranya anda dikehendaki meninggalkan kawasan rumah.
  2. Anda mesti memahami di bahagian mana dan apa yang boleh menyebabkan rumah anda tidak mampu untuk menghadapi banjir. Kemudian selenggara rumah anda dan kerap melakukan pemeriksaan terutamanya di bahagian paling lemah pada struktur rumah anda.
Sistem Saliran
  1. Periksa sistem saliran di luar rumah anda. Pastikan sistem air bawah tanah di kediaman anda tidak memerangkap tanah ke dalam saluran. Jika kediaman  anda terletak di kawasan aliran air hujan yang menghala ke arah rumah, bina sistem saliran yang boleh mengalirkan air hujan agar menjauhi kawasan rumah anda.
  2. Periksa sekiranya terdapat retakan atau sumbat pada sistem saliran. Saliran bawah tanah yang tersumbat boleh menyebabkan banjir.
  3. Sekiranya rumah anda terletak di kawasan yang mudah dilanda banjir, tembok penghalang banjir dapat menyokong menghalang air banjir daripada masuk ke dalam rumah.
  4. Pasang pengadang kalis air pada tapak rumah. Pengadang bergetah dapat membantu menyalurkan air menjauhi tapak rumah melalui saliran berpelapik jubin di sekeliling rumah anda.
Elektrik
  1. Pemanas air, relau dan panel elektrik perlu diletak di tempat yang lebih tinggi. Tinggikan soket elektrik sekurang-kurangnya 1.5 meter dari lantai.
  2. Potong perkhidmatan bekalan elektrik pada pemutus arus sekiranya sistem elektrik dan saluran keluar berkemungkinan berada dibawah paras air.
Rumah
  1. Guna jubin seramik untuk lantai, ambal juga lebih baik daripada permaidani kerana lebih mudah dibersihkan. Simen kapur pada dinding berbanding simen gipsum. Gantikan pintu kayu dan bingkai cermin kepada bahan jenis UPVC yang telah difabrikasi.
  2. Tanam lebih banyak tumbuhan hijau dan pokok di kawasan rumah anda untuk membantu menghalang hakisan tanah. Hakisan menyumbang kepada banjir dan degredasi sisa di sekitar rumah anda.
  3. Walaupun menaikkan rumah lebih tinggi daripada aras paras banjir memerlukan kos yang tinggi, namun kaedah ini merupakan antara kadah yang paling berkesan untuk melindungi rumah anda, lebih-lebih lagi sekiranya anda tinggal dikawasan zon banjir.
Lain-lain
  1. Limpahan pada sinki dan tab mandi boleh menyebabkan bencana. Anda boleh mengelakkannya dengan tidak meninggalkan bilik air tanpa pengawasan semasa air paip masih mengalir. Tutup paip setiap kali anda selesai menggunakannya. Air tandas yang melimpah juga mendatangkan masalah besar dan sukar untuk dielakkan. Pastikan anda menyimpan pelocok di dalam tandas sebagai langkah berjaga-jaga dan jangan membuang tisu, pasir kumbahan atau lampin pakai buang ke dalam lubang tandas.
Siti Rizadiana Binti Rahmat
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Rabu, 11 Ogos 2010

BIJIRIN SARAPAN MENGANDUNGI GULA YANG TINGGI



Sarapan bijirin merupakan jenis makanan yang digemari orang ramai kerana ia mudah dimakan dan sihat secara semula jadi. Kajian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna Hong Kong mendapati bahawa walaupun sarapan bijirin ini mempunyai serat yang tinggi, tetapi ia juga mengandungi gula yang tinggi.

Dengan kerjasama Pusat Keselamatan Makanan, dalam tempoh 3 bulan iaitu daripada Mac hingga Jun, Majlis Pengguna Hong Kong telah mengkaji pelabelan 38 jenis sarapan bijirin, termasuk 21 sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk dan 17 sarapan bijirin yang dihidang secara panas.
Mereka mendapati bahawa 80% daripada sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Bagi golongan yang perlu mengawal pengambilan gula mereka, mereka perlu berhati-hati semasa makan sarapan jenis ini.

Bagi 21 sampel sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk, setiap 100 gram sampel mengandungi gula dari 4.4 gram hingga 43 gram, iaitu 17 (80%) dianggap tinggi kandungan gulanya apabila merujuk kepada garis panduan Agensi Standard Makanan United Kingdom. Satu sampel didapati mengandungi 43 gram gula per 100 gram bijirin. Seseorang yang makan satu hidangan (28 gram) akan mengambil 12 gram gula atau 24% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Kandungan gula yang tinggi juga didapati dalam sarapan bijirin yang dihidang secara panas. Pek minuman bijirin oat mengandungi peratusan gula yang agak tinggi, iaitu setiap pek (42 gram) mempunyai 12.3 gram gula atau 25% daripada had pengambilan harian yang disarankan. Selain itu, pek minuman gandum mengandungi gula yang tertinggi, iaitu sebanyak 16 gram gula per pek (32 gram) atau 32% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Serat adalah baik untuk kesihatan. Hampir semua sarapan bijirin mempunyai serat yang mencukupi bagi sebagaimana yang dicatatkan pada label ’mengandungi serat makanan’ yang dicatatkan pada Skim Pelabelan Pemakanan. Dalam kajian ini, didapati seratt makanan membentuk 1.9 gram – 14.5 gram per 100 gram makanan, satu sampel tidak mempunyai peratusan yang mencukupi untuk sebagaimana yang dinyatakan pada label ’mengandungi serat makanan’.

Pengambilan gula yang berlebihan akan menambah risiko berat yang berlebihan dan obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan pengambilan gula dalam satu hari tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah tenaga. Sebagai contoh, bagi individu yang memerlukan 2,000kcal tenaga sehari, mereka perlu menghadkan pengambilan gula kurang daripada 50 gram sehari (kira-kira 10 kiub atau 10 sudu atau 40 gram sehari).

Kerajaan telah mengadakan Kempen Kurangkan Penggunaan Gula. Saranan yang diberikan kepada rakyat Malaysia ialah menghadkan pengambilan jumlah gula kepada 10 sudu gula sehari, yang jumlah gula ini termasuk gula dalam minuman dan makanan  seperti masakan mahupun kuih-muih.

Rakyat dinasihatkan supaya memeriksa pelabelan makanan dan membaca kandungan gula serta tenaga yang dilampirkan bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

sumber dari KONSUMER KINI