Rabu, 11 Ogos 2010

BIJIRIN SARAPAN MENGANDUNGI GULA YANG TINGGI



Sarapan bijirin merupakan jenis makanan yang digemari orang ramai kerana ia mudah dimakan dan sihat secara semula jadi. Kajian yang dilakukan oleh Majlis Pengguna Hong Kong mendapati bahawa walaupun sarapan bijirin ini mempunyai serat yang tinggi, tetapi ia juga mengandungi gula yang tinggi.

Dengan kerjasama Pusat Keselamatan Makanan, dalam tempoh 3 bulan iaitu daripada Mac hingga Jun, Majlis Pengguna Hong Kong telah mengkaji pelabelan 38 jenis sarapan bijirin, termasuk 21 sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk dan 17 sarapan bijirin yang dihidang secara panas.
Mereka mendapati bahawa 80% daripada sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Bagi golongan yang perlu mengawal pengambilan gula mereka, mereka perlu berhati-hati semasa makan sarapan jenis ini.

Bagi 21 sampel sarapan bijirin yang dihidang secara sejuk, setiap 100 gram sampel mengandungi gula dari 4.4 gram hingga 43 gram, iaitu 17 (80%) dianggap tinggi kandungan gulanya apabila merujuk kepada garis panduan Agensi Standard Makanan United Kingdom. Satu sampel didapati mengandungi 43 gram gula per 100 gram bijirin. Seseorang yang makan satu hidangan (28 gram) akan mengambil 12 gram gula atau 24% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Kandungan gula yang tinggi juga didapati dalam sarapan bijirin yang dihidang secara panas. Pek minuman bijirin oat mengandungi peratusan gula yang agak tinggi, iaitu setiap pek (42 gram) mempunyai 12.3 gram gula atau 25% daripada had pengambilan harian yang disarankan. Selain itu, pek minuman gandum mengandungi gula yang tertinggi, iaitu sebanyak 16 gram gula per pek (32 gram) atau 32% daripada had pengambilan harian yang disarankan.

Serat adalah baik untuk kesihatan. Hampir semua sarapan bijirin mempunyai serat yang mencukupi bagi sebagaimana yang dicatatkan pada label ’mengandungi serat makanan’ yang dicatatkan pada Skim Pelabelan Pemakanan. Dalam kajian ini, didapati seratt makanan membentuk 1.9 gram – 14.5 gram per 100 gram makanan, satu sampel tidak mempunyai peratusan yang mencukupi untuk sebagaimana yang dinyatakan pada label ’mengandungi serat makanan’.

Pengambilan gula yang berlebihan akan menambah risiko berat yang berlebihan dan obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan sakit jantung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia mencadangkan pengambilan gula dalam satu hari tidak boleh melebihi 10% daripada jumlah tenaga. Sebagai contoh, bagi individu yang memerlukan 2,000kcal tenaga sehari, mereka perlu menghadkan pengambilan gula kurang daripada 50 gram sehari (kira-kira 10 kiub atau 10 sudu atau 40 gram sehari).

Kerajaan telah mengadakan Kempen Kurangkan Penggunaan Gula. Saranan yang diberikan kepada rakyat Malaysia ialah menghadkan pengambilan jumlah gula kepada 10 sudu gula sehari, yang jumlah gula ini termasuk gula dalam minuman dan makanan  seperti masakan mahupun kuih-muih.

Rakyat dinasihatkan supaya memeriksa pelabelan makanan dan membaca kandungan gula serta tenaga yang dilampirkan bagi menjamin kehidupan yang lebih sihat.
Sam Wong
Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

sumber dari KONSUMER KINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan