Isnin, 16 Ogos 2010

Ambil tahu kandungan dalam makanan

Ambil tahu kandungan dalam makanan

sumber dari KONSUMER KINI
PDFPrintE-mail
MONDAY, 16 NOVEMBER 2009 17:50
SELAMATKAH makanan yang kita ambil setiap hari? Percayakah makanan itu
benar-benar selamat meskipun kita sendiri yang menyediakannya? Ada
benarnya ungkapan 'kita adalah apa yang kita makan'. Ia menunjukkan betapa
sebahagian diri kita banyak terbina daripada makanan yang diambil setiap hari.

Apa yang dimakan, itulah kelak yang akan membina kesihatan tubuh, fizikal, mental dan
spiritual seseorang. Namun, sejauh mana kita menyedari aspek keselamatan termasuk
dari segi perolehan, penyediaan dan hidangannya?

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna
Malaysia (Fomca), Piarapakaran Subramaniam, menyifatkan masih ramai
masyarakat Malaysia tidak faham dengan tahap keselamatan makanan
sama ada bahan mentah atau makanan diproses. "Tanggungjawab
meningkat tahap keselamatan dan kualiti makanan terletak pada
diri sendiri. Sebagai pengguna, kita perlu faham semua kandungan dalam makanan
 yang kita ambil dan tidak membuat andaian sendiri. "Mungkin ikan mentah yang dibeli
di pasar nampak segar pada luarannya, tapi kandungan plumbum dalam ikan itu boleh
diragui.

Begitu juga kandungan dalam bahan makanan yang sudah diproses seperti susu dan
biskut. "Di sini pentingnya kefahaman kita mengenai kandungan bahan dalam
satu-satu makanan itu, apabila saya lihat masyarakat Malaysia belum memahami
konsep itu," katanya ketika sesi perbincangan meja bulat Kenali Makanan Anda anjuran
Nestle Malaysia Berhad, baru-baru ini. Justeru, Fomca merancang mengadakan program
jelajah kempen kesedaran ke seluruh Malaysia untuk memberi pengetahuan tambahan
terutama kepada penduduk luar bandar. "Mereka (penduduk luar bandar) selesa dengan
 kehidupan yang dijalani selama ini.

Mungkin pada awalnya program ini tidak berjalan lancar kerana daripada maklum balas
yang dijalankan Fomca sebelum ini, mereka tidak kisah dengan apa yang dimakan asalkan
daripada sumber yang dianggap bersih. "Apa yang mereka tidak faham, ada sesetengah
makanan itu tampak elok, tapi mungkin sudah tercemar dengan pelbagai unsur
ketika proses pemindahan, jualan dan penyimpanannya. "Selain itu, Fomca turut merancang
mengadakan ceramah bagi mengajar masyarakat Malaysia membaca label sebelum membeli
makanan dalam tin. "Pengetahuan dalam kandungan bahan makanan itu penting untuk
mengelak salah faham dan timbulnya masalah berkaitan kesihatan seperti alahan. "Tapi,
 kita juga tidak boleh paksa mereka untuk terima semua maklumat yang ingin disampaikan
terutama bagi penduduk luar bandar. Maklumat yang akan diberikan juga tidak terlalu
berat kerana ia boleh menakutkan mereka hingga akhirnya enggan mengambil satu-satu
produk itu.

Menurutnya apa yang penting adalah asas kesedaran kepada makanan yang akan
menjadi sasaran utama untuk kempen kesedaran berkenaan. Perbincangan meja bulat itu
turut disertai Pengurus Jaminan Kualiti Kumpulan Nestle Malaysia dan Singapura, Jasmine Lee;
Timbalan Pengarah Divisyen Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan, Shamsinar
 Abdul Talib; Pengarah Urusan Kumpulan Soon Soon yang mewakili Persekutuan Pengilang-Pengilang
Malaysia, Datuk Neoh Soon Bin serta beberapa pengarang syarikat akhbar dan televisyen tempatan.

Piarapakaran tidak ketinggalan memberi beberapa tip untuk mengelak masalah pengambilan
makanan tercemar. "Seeloknya, makan hasil tempatan, sama ada mentah atau yang sudah diproses.
Menggunakan bahan mentah yang ditanam sendiri turut digalakkan. "Walaupun tinggal di kediaman
 bertingkat, masyarakat boleh berkebun dalam pasu. Selain menjimatkan wang, aspek kebersihan dan
keselamatan pasti terjaga. "Selain itu, kami juga menggesa kerajaan mewujudkan akta
antimonopoli perniagaan perusahaan makanan untuk membolehkan pengguna mempunyai l
ebih banyak pilihan," katanya.

Oleh Nor Faizah Mohamed - faizah@hmetro.com.my 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan