Isnin, 16 Ogos 2010

TINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP KEBERSIHAN SUNGAI

TINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP KEBERSIHAN SUNGAIPDFPrintE-mail
SUMBER DARI KONSUMER KINI
Air adalah unsur terpenting mengimbangi kehidupan manusia.
Tiga perempat muka bumi diliputi air, iaitu 97% adalah air masin
dan hanya kira-kira 0.3% air yang boleh digunakan (sumber air tawar).

Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak
menggunakan air di Asia Tenggara dengan purata 205 liter air sehari untuk setiap individu.
Dalam banyak hal, air juga menjadi penyumbang besar kepada pembangunan tetapi
kesejahteraannya berterusan disanggah dan dianiayai. Salah urus dan sifat haloba manusia
mencetuskan padah kekurangan air serta pencemaran. Natijahnya, seluruh dunia kini berdepan
 dengan krisis air.
Sungai adalah elemen alam sekitar yang penting kepada manusia. Sejak dahulu lagi, manusia
mempunyai hubungan yang rapat dengan sungai kerana sungai berfungsi sebagai alat
pengangkutan dan perhubungan, sumber bekalan air untuk domestik dan pertanian serta
sumber protein kepada manusia. Fungsi sungai yang paling utama kepada manusia adalah
sebagai sumber bekalan air sama ada untuk kegunaan domestik atau komersil.

Hasil kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kira-kira 20 sungai mengalami
pencemaran serius seperti Sungai Klang dan Sungai Sepang di Selangor, Sungai Juru di
Pulau Pinang, Sungai Jimah di Negeri Sembilan dan Sungai Skudai di Johor. Sungai Pinang dan
 Sungai Juru di Pulau Pinang kekal sebagai sungai paling tercemar di Malaysia. Perkembangan
ini memang dijangka selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara selain
mentaliti masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

Lebih 1,000 sungai di seluruh negara dipantau secara berkala oleh Jabatan Alam Sekitar.
Kajian Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati air daripada sungai ini mengandungi logam
berat seperti arsenik, raksa, kadmium, kromium, plumbum dan zink yang berbahaya kepada
habitat dan manusia. Sebanyak 16 batang sungai terutama di Pulau Pinang, Kuala Lumpur
 dan Johor dikategorikan sebagai tercemar dan hampir mati yang memerlukan kos antara
 RM100 juta dan RM400 juta untuk memulihkan setiap sungai.

Antara punca berlakunya pencemaran sungai adalah aktiviti pembangunan tanah dan
 pelepasan sisa daripada kilang serta sisa dan najis daripada ladang ternakan babi,
selain sikap pendatang tanpa izin termasuk pekerja asing yang menjadikan kawasan
 tebing sungai sebagai tempat penempatan.

Tahap kesedaran masyarakat perlu ditingkatkan kerana manusia sendiri adalah
penyebab utama berlakunya pencemaran sungai. Minda dan sikap pihak berkuasa
dan orang ramai yang kurang mempunyai kesedaran untuk memulihara alam sekitar.
Selain itu, pengguna juga suka membazir air dengan penggunaan air yang melebihi keperluan.

Kesedaran dan sifat tanggungjawab adalah tonggak utama kepada penjagaan sejagat,
 di samping sikap berani bertindak dan mengambil tindakan menghentikan
pencerobohan kawasan tadahan air. Program pendidikan dan penghayatan
etika alam sekitar perlu didedahkan kepada generasi muda untuk membentuk
 kecintaan, sikap dan perilaku bagi memelihara, memulihara dan menghayati kepentingan
alam.

Masyarakat setempat masih berkesempatan untuk mengubah sikap sambil lewa
mereka terhadap penjagaan alam sekitar dan mengambil langkah untuk memastikan
 sumber bekalan air mentah terus dipelihara dan dijaga.

Nurul Aina Ibrahim Istar
Forum Air Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan